Baginda Sultan kurnia pingat kepada pengurus, pemain HBT

  • PDF

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan mengurniakan Bintang Kebesaran dan Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam kepada pegawai pengurusan dan pemain pasukan bola sepak belia dua puluh satu tahun ke bawah Negara Brunei Darussalam, Juara Kejohanan Bola Sepak Hassanal Bolkiah Trophy bagi Belia ASEAN 2012 di Istana Nurul Iman.

Seramai 5 orang pegawai pengurusan dikurniakan Bintang PSB (Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah ke-4) dan seramai 24 orang penerima Pingat PJK (Pingat Jasa Kebaktian) yang terdiri daripada pegawai pengurusan dan kesemua pemain pasukan HBT.

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada majlis tersebut menekankan bahawa kejayaan Pasukan Bola sepak Negara Brunei Darussalam adalah satu pencapaian yang amat cemerlang dan sungguh membanggakan bagi rakyat khususnya di kalangan golongan belia di negara ini.
Baginda bertitah, kejayaan seumpama ini setentunya memerlukan komitmen dan disiplin yang tinggi di semua peringkat pengurusan dan pemain. Kejayaan yang dicapai ini akan menjadi pendorong dan seterusnya menyuntik semangat ke arah mengangkat kecemerlangan sukan di Negara Brunei Darussalam, lebih-lebih lagi untuk menjadikan Piala Hassanal Bolkiah sebagai platform untuk memajukan kecemerlangan bola sepak di rantau Asia Tenggara.

Baginda juga ingin melihat pemain-pemain bola sepak Negara Brunei Darussalam di Kejohanan Piala Hassanal Bolkiah ini dijadikan sebagai asas penubuhan Pasukan Kebangsaan di bawah Pengawasan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Dalam titah tersebut, Baginda juga melahirkan harapan supaya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dapat merancang skim dan program penggalak yang bersesuaian bagi mempersiapkan pasukan bola sepak Kebangsaan ini di kejohanan-kejohanan yang lebih mencabar.


Berangkat sama ke Majlis Istiadat tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Duli Yang Teramat Mula Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan dan Presiden Kehormat Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Turut Hadir di majlis itu ialah Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Dato Paduka Awang Haji Mohd Hamid bin Haji Mohd Jaafar dan Presiden Persatuan Bola sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Haji Mohiddin.

Pasukan bola sepak belia dua puluh satu tahun ke bawah Negara Brunei Darussalam menjuarai kejohanan tersebut buat pertama kalinya setelah menewaskan pasukan Indonesia di perlawanan akhir kejohanan bola sepak HBT pada 9 Mac 2012 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.


 

 

This content has been locked. You can no longer post any comment.